NGO Tidak Berorientasikan Keuntungan - Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah organisasi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya berorientasikan keuntungan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penubuhan NGO mungkin tercetus daripada pengalaman, minat, idea dan semangat perjuangan yang kuat daripada individu atau kumpulan tertentu untuk bertindak terhadap sesuatu fenomena yang terjadi atau keinginan dalam masyarakat.
"Mereka ini bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka letakkan sebagai tanggungjawab dan apa yang dirasakan sebagai kewajipan akan dilakukan seikhlas hati walaupun tidak diberi upah.
"Di pihak kerajaan negeri, kami hanya bertindak sebagai pemudahcara kepada NGO yang berdaftar di negeri ini demi manfaat masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan sempena Forum Bicara NGO: 'Cabaran NGO Pada Masa Kini' di Bangunan TD 1303, hari ini.
Wan Sukairi berkata, NGO turut memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan.
Katanya, peranan kerajaan di sebalik penubuhan sesebuah NGO adalah memberikan fokus dalam mencapai objektifnya seperti menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran, memperkasa ekonomi wanita, mengawal dan mengurus penyakit, membantu mangsa bencana alam, memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusiaan, sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya.
"Sebagai contoh, berkaitan isu ibu tunggal, apa sahaja masalah yang dihadapi golongan ini contohnya kemahiran yang diperlukan, dana dan sebagainya boleh dipanjangkan kepada pihak kerajaan oleh NGO berkaitan dan akan diberikan perhatian yang sewajarnya," ujar beliau.