lightning-solid
Berita :
Ngopi Anak Muda Kemaman Bersama Dr Sam Tarik Lebih 200 Belia
Ngopi Anak Muda Kemaman Bersama Dr Sam Tarik Lebih 200 Belia
Ridhwan Balian
1 jam yang lepas
65

KEMAMAN, 15 Ogos – Lebih 200 anak muda dan beliawanis membanjiri Program Ngopi Anak Muda Kemaman Bersama Dr Sam, sekali gus membuktikan kesungguhan generasi muda untuk terlibat dalam ruang dialog yang mengetengahkan aspirasi, pandangan serta masa depan mereka.

Program yang berlangsung dalam suasana santai itu bukan sekadar sesi minum kopi, malah menjadi platform untuk bertukar idea, berkongsi pandangan dan mendengar sendiri suara anak muda Kemaman mengenai pelbagai isu yang dekat dengan kehidupan mereka.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, meluangkan hampir dua jam bersama para peserta dalam sesi dialog terbuka yang berlangsung mesra dan penuh makna.

Menurut beliau, anak muda bukan sekadar pewaris masa depan, sebaliknya merupakan rakan penting dalam mencorak dan membentuk masa depan yang sedang dibina hari ini.

“Saya berharap lebih ramai anak muda berani membawa impian, idea dan pandangan mereka ke hadapan. Berani mencuba perkara baharu, merebut peluang yang ada serta mampu membuat keputusan berasaskan ilmu, kematangan dan rasa tanggungjawab,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, turut menegaskan bahawa golongan muda perlu diberikan ruang untuk bersuara, peluang untuk mencuba dan kepercayaan untuk memainkan peranan dalam masyarakat.

“Tidak semua idea akan terus berjaya, namun daripada keberanian untuk mencuba itulah lahir pengalaman, kemahiran dan keyakinan yang akan mematangkan seseorang,” ujarnya.

Tambah beliau, pertemuan santai seperti itu sering menjadi titik permulaan kepada idea-idea bernas dan perspektif baharu yang mampu menyumbang kepada penyelesaian pelbagai cabaran semasa.

“Kadang-kadang daripada secawan kopi dan sembang santai, lahir idea yang baik, perspektif yang baharu dan mungkin juga penyelesaian kepada sesuatu yang sedang kita hadapi,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru anak muda agar terus menimba ilmu, berusaha dan tidak takut untuk memulakan langkah pertama dalam mengejar cita-cita.

“Impian yang besar tidak semestinya bermula dengan langkah yang besar. Yang penting, ada keberanian untuk memulakan langkah pertama,” ujarnya.

Jelasnya, beliau yakin bahawa dengan ilmu, akhlak, kemahiran dan keberanian, anak muda hari ini mampu menjadi generasi yang bukan sahaja berjaya untuk diri sendiri, malah memberi manfaat kepada masyarakat, bangsa dan agama.

“Semoga lebih banyak ruang dapat dibuka agar potensi anak muda dapat diterjemahkan menjadi kekuatan dan perubahan yang nyata,” katanya 



Tag :

Artikel Berkaitan