DUNGUN, 2 September - Rakyat khususnya generasi hari ini perlu mempertahankan nikmat kemerdekaan dengan memelihara kontrak sosial, kedamaian dan kedaulatan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin.
Beliau berkata, kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan besar generasi terdahulu yang perlu dihargai dan dipertahankan agar terus menjadi nikmat kepada rakyat.
“Kita kena jaga nikmat kemerdekaan yang diberikan oleh Allah SWT. Kena pertahankan kemerdekaan negara ini, kena menjaga kontrak sosial, kedamaian dan kedaulatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Ambang Merdeka peringkat DUN Sura di Dewan Arena Merdeka, di sini, pada Ahad.

Katanya, generasi terdahulu telah melakukan pengorbanan besar bagi memastikan negara mencapai kemerdekaan, justeru nikmat tersebut perlu dihargai dengan memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Dalam pada itu, Dr Tengku Muhammad berkata sambutan kemerdekaan tahun ini turut mempunyai penghayatan tersendiri apabila ia berlangsung tidak jauh daripada sambutan Maulidur Rasul.
“Pada malam ini, bercantumlah dua kecintaan. Kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan yang kedua ialah 'hubbul watan', kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air dan negara ini.
“Daripada kedua-dua kecintaan dan kesetiaan ini, ia akan melahirkan orang yang akan berjuang dan berkorban,” katanya.