KUALA TERENGGANU, 12 November – Cadangan untuk menurunkan taraf Lapangan Terbang Kerteh kepada heliport menimbulkan kebimbangan meluas kerana langkah itu berpotensi menjejaskan peluang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor penerbangan dan perindustrian bernilai tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, cadangan tersebut boleh menafikan kelebihan strategik yang dimiliki lapangan terbang itu sebagai pusat pembangunan industri dan pelaburan.
"Maklumat terkini yang kami terima berkenaan lapangan terbang yang lengkap bagi pelaburan segmen penerbangan skala sederhana, dimaklumkan operasi Lapangan Terbang Kerteh akan diturunkan taraf kepada heliport.
"Jika perkara ini benar berlaku, maka segala kelebihan lapangan terbang yang lengkap ini tidak lagi menjadi satu peluang kepada potensi terbesar dalam bidang pelaburan dan perindustrian bernilai tinggi," katanya semasa sesi perbahasan Enakmen Perbekalan 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ir. Saiful menyeru Kerajaan Negeri meneliti semula cadangan berkenaan secara menyeluruh dan memberi penumpuan terhadap implikasi sosial dan ekonomi.
"Saya berharap pihak kerajaan supaya meneliti balik dan memberi sedikit penumpuan dalam meneroka peluang yang lebih luas dalam segmen perindustrian ini," tambahnya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap nasib pekerja yang kini bergantung hidup pada operasi lapangan terbang tersebut.
"Tanpa prejudis, ramai pekerja yang sedang bekerja di Lapangan Terbang Kerteh ini akan kehilangan peluang pekerjaan jika ianya diturun taraf," tegas beliau.
Katanya lagi, Lapangan Terbang Kerteh mempunyai nilai strategik yang wajar dikekalkan sebagai nadi pembangunan wilayah Timur.
"Saya berharap peluang ini terus menjadi satu pilihan yang perlu diberi perhatian," ujarnya.