Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Nilai Sentimental Pulau Bidong Jadi Tarikan Pelancong
Dr Samsuri Mokhtar menandatangani simbolik Nostalgia Pulau Bidong. Foto - Solahuddin Al-Idrus |
Oleh: Rohayati Ripin
SETIU - Manusia akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kebebasan sehingga sanggup menggadaikan nyawa mereka, kata Menteri, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut beliau, Pulau Bidong adalah contoh sejarah manusia yang dikenang kerana mempunyai nilai sentimental tersendiri serta menjadi antara produk yang menarik pelancong ke negeri ini.
“Ianya merupakan suatu tempat yang menjadi sasaran pelancongan. Ianya bukan bermakna ‘full skill’ pelancongan di mana ramai pelancong berduyun-duyun datang serta didirikan binaan dan chalet atau hotel tanpa kawalan.
“Pada hari ini sudah ada komuniti yang besar sebenarnya di kalangan saudara mara yang dikategorikan orang hanyut termasuk yang dilahirkan di sini dan berada di Amerika, Australia dan Eropah.Mereka mempunyai ‘sentimental value’ pada tempat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Pulau Bidong, di sini, semalam (13 Ogos).
Katanya, sebelum kerajaan negeri mengambil alih tempat berkenaan, Kerajaan Pusat tidak banyak melaksanakan pembaharuan bagi memajukan tempat yang memiliki sentimental dan sejarah itu.
“Kita mahu jadikan Pulau Bidong sebagai tempat tumpuan pelancongan yang mana pengunjung akan datang menikmati ‘day trip’ untuk meneroka tempat ini.
“Saya lihat banyak potensi yang boleh kita bangunkan walaupun sebelum ini mungkin kerajaan di bawah pentadbiran yang lama tidak begitu memfokuskan pulau ini.
“Kita akan membangunkan pulau ini sesuai dengan sasaran pelancongan daripada luar dan daripada dalam Malaysia sendiri,” jelasnya.
Justeru, beliau akan memberi komitmen dalam bajet yang akan datang dengan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk membangunkan destinasi pelancongan itu.
Peristiwa Pulau Bidong menyaksikan Kerajaan Terengganu terpaksa mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990.
Ketika itu, ramai pelarian Vietnam mendarat di pantai dan pulau di perairan Pantai Timur.
Dianggarkan seramai 252,390 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia dan seramai 4,535 bayi mereka dilahirkan. Jumlah pendaratan paling tinggi ialah dengan kapal Hai Hong di Pelabuhan Klang, yang membawa 2,400 orang pada 1978.