OKU Ziarah OKU, Beri Sokongan Antara Satu Sama Lain

MARANG, 18 Disember - Sebagai memberi sokongan antara satu sama lain, beberapa Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah diziarahi oleh Majlis Perfahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK).

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, kunjungan tersebut juga bertujuan memberi kata-kata semangat sesama mereka, di dalam kalangan OKU yang berkongsi nasib dan ujian kehidupan yang sama.

"Rata-rata OKU yang diziarahi dan dikunjungi adalah mereka yang sakit terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri dengan sempurna sama ada dijaga oleh keluarga atau ibu bapa,"katanya..

"Apa yang menariknya, ayat al-quran dan doa-doa diperdengarkan kepada mereka sepanjang ziarah tersebut, sebagai bait-bait penguat semangat serta pengisian rohani.

"Mewakili PKM, kami akan berusaha mewujudkan satu kumpulan sokongan yang terdiri daripada ibu bapa agar mereka saling mengenali dan menguatkan antara satu sama lain.

"Di samping itu, kita juga berharap program seperti ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai atau komuniti berkaitan penerimaan OKU dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata sebaik sahaja selesai program menziarahi lima orang OKU di kampung Rusila, Gong Nangka, Sungai Kerak dan Sentul Patah.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Hal Ehwal OKU, Pejabat Timbalan Menteri Putrajaya, Mohammad Faizal Che Yusoff, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, , Skuad Upaya daripada Lanjah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan MPKK kampung masing-masing.

Menurutnya lagi, program seperti ini wajar diteruskan dan dilakukan secara berkala lebih-lebih lagi apabila dapat berkerjasama dengan pihak seperti persatuan OKU atau Skuad Upaya seperti ini.

"Antara yang diziarahi adalah mereka yang berusia antara lapan sehingga 40 tahun," tambahnya lagi.


Tag: