KUALA TERENGGANU, 4 September – Kira-kira 1,000 ekor ayam berharga RM10 seekor habis dijual dalam tempoh satu jam di program Pasar Berkat yang berlangsung di Padang Hiliran di sini, pagi ini.
Selain ayam, orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan lain seperti sayur-sayuran, daging dan barangan basah dengan potongan harga istimewa sempena program tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, program anjuran Persatuan Pekerja dan Pengguna Kuala Terengganu (PEKA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar adalah untuk membantu rakyat terutama golongan B40 membeli barangan keperluan itu dengan harga murah.
"Ini adalah program kali keenam yang kita anjurkan dengan PEKA di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dan kali pertama pada penggal ini.
"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kita akan teruskan dengan kekerapan yang sesuai bagi pihak pembeli dan peniaga.
“Kerajaan negeri sentiasa mendengar pandangan rakyat. Insya-Allah kita sentiasa berusaha membantu serta meringankan beban rakyat di dalam kawasan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Shah, lebih satu tan ikan pelbagai jenis turut dijual dengan harga murah seperti anak ikan kembung dan anak ikan selar hanya RM2 sekilo.
Menurutnya, daging pula dijual RM25 serta pelbagai jenis sayur-sayuran dengan harga RM1 seikat.
Salah seorang pengunjung Aminah Said, 56, yang ditemui berkata, dia berkunjung seawal jam 7.00 pagi untuk mendapatkan bekalan ayam yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding pasar raya serta pasar basah.
"Saya datang dengan suami dan kami dapat beli dua kampit beras selain ayam dapatlah bertahan selama sebulan dan kami turut beli beberapa barang keperluan lain pada harga murah berbanding pasaran.
"Kami selalunya memang akan pergi beli barang keperluan di program jualan murah seperti ini kerana kami dapat berjimat. Sekurang-kurangnya dapat jimat sehingga RM100 sebulan... itu dah cukup baik untuk keluarga saya,"katanya.
Sementara itu, bagi suri rumah Nurul Ain Mohd, 40, pula berkata dia dapat berjimat sehingga 30 peratus dengan membeli-belah di Jualan Pasar Berkat dan tumpuannya adalah beras serta barangan kering untuk kegunaan harian di rumah.
Dia yang mempunyai tiga anak berkata selain murah, barang-barang ditawarkan juga berkualiti malah ada yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.