KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Pameran LATerasi Kewangan menyediakan platform pendidikan berkaitan kewangan kepada seluruh peringkat masyarakat termasuk generasi muda.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Bank Negara itu merupakan ruang pendidikan terbaik kepada golongan tua, muda termasuk kanak-kanak yang harus mendapat maklumat lengkap berkait dengan kewangan.
“Usaha ini sangat bermanfaat dan saya berharap orang ramai dapat meluangkan masa berkunjung ke pameran ini bagi menimba ilmu dan mengetahui tentang pengurusan kewangan yang betul.
“Terima kasih kepada pihak Bank Negara dan Muzium Negeri Terengganu yang menganjurkan program ini dan sekalung penghargaan juga kepada kartunis tersohor Datuk Lat yang sudi memperagakan hasil tangan beliau untuk tatapan masyarakat di Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pameran LATerasi Kewangan 2019 di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar; Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Mohd Azmi Ngah dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya.
Dalam perkembangan sama katanya, semua pihak harus memainkan peranan dalam usaha membanteras kegiatan penipuan kewangan.
“Selain agensi penguatkuasaan, orang ramai juga perlu peka terhadap kes-kes penipuan kewangan termasuk membuat laporan kepada pihak berkaitan sekiranya melihat berlaku penyelewengan dan sebagainya,” ujarnya.
Pameran bergerak anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kompleks Muzium Negeri Terengganu itu akan dibuka kepada orang ramai di Muzium Terengganu bermula esok sehingga 29 Februari tahun hadapan.
LATerasi Kewangan bakal menggamit kenangan kepada pengguna ‘Buku Wang Saku’ dan kepada mereka yang terlibat dalam usaha mempromosikan pengurusan kewangan sebagai kemahiran hidup yang penting sejak dari usia muda lagi.
Selain menghargai karjya seni kreatif Datuk Lat, pengunjung juga akan diterapkan dengan mesej-mesej penting dalam pengurusan kewangan berhemat untuk diamalkan dalam aktiviti kewangan seharian.