Pameran Senjata Suntik Kelainan Di Kejohanan Payung Terjun ATM 2017
Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kali ketiga yang sedang berlangsung di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus membawa kelainan apabila turut menyediakan pameran senjata kepada pengunjung.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pameran seumpama itu pastinya memberi tarikan kepada orang ramai dari pelbagai peringkat usia yang sebelum ini tidak berpeluang melihat pelbagai jenis senjata dan peralatan tentera secara lebih dekat.
"Saya ucapkan tahniah kepada ATM yang telah berjaya menganjurkan satu program yang sudah pasti akan menarik ramai peminat.
"Saya juga rasa terpegun kerana pada tahun ini disertakan sekali dengan pameran persenjataan, peralatan dari tentera yang saya yakin bukan perkara mudah untuk membawanya kerana dari segi keselamatan dan sebagainya termasuk membawa helicopter untuk ke mari," katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika lawatannya ke Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata program tersebut mengisi kalendar pelancongan sebagai acara tahunan.
Tambahnya, program itu juga akan diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai mewarnai acara dan menyokong inisiatif pelbagai pihak untuk menarik pelancong serta pelawat terutama yang gemarkan sukan lasak untuk ke Terengganu.