Atlet kabaddi Terengganu, Fatin Nadeera Jasni, 20, yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya tahun lalu menerima bayaran pampasan berjumlah RM100,000 daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
Cek pampasan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman kepada ibu mangsa, Faridah Abdul Ghani, 57, semasa sesi rehat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.
Fatin Nadeera yang berasal dari Kampung Losong Atap Zink terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 29 berhampiran tapak pelupusan sampah, Jalan Sungai Ikan, Kuala Nerus setelah selesai menjalani latihan persiapan awal bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di MSNT pada 5 Mei 2014.
Akibat pendarahan dalam kepala, mangsa koma selama setahun dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 27 Mei 2015.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata perlindungan insurans yang disediakan kepada semua atlet sedikit sebanyak membantu keluarga mereka dan mengurangkan rasa kesedihan berikutan kehilangan orang tersayang.
“Kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan atlet terjaga. Bukan hanya pada insurans sahaja malah perkara lain turut dititikberatkan termasuk memberi bantuan persediaan untuk mereka melanjutkan pelajaran.
“Kerana itu, saya minta MSNT melihat balik mana-mana atlet yang boleh kita bantu melalui skim-skim bantuan untuk mereka menyambung pengajian,” ujarnya.
Katanya, melalui pendekatan ini apabila seseorang atlet itu sudah tidak aktif lagi dalam sukan yang diwakilinya maka mereka boleh memberi khidmat kepada negeri seperti menjadi jurulatih dan sebaginya.