KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Gelaran 'awang' dan 'mek' merupakan manifestasi keakraban baik antara kaum di dalam Terengganu dan keberadaan mereka yang amat dihargai oleh masyarakat sekeliling.
Menerusi perutusan Tahun Baharu Cina, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, panggilan tersebut bukanlah perkara asing untuk majoriti penduduk di negeri ini
"Sambutan bagi tahun ini adalah Tahun Harimau. Bagi budaya dan kepercayaan masyarakat Tionghoa, ia dikaitkan dengan kasih sayang, kekuatan dan semangat. Diharapkan kehadiran tahun harimau akan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia.
"Tahun ini, perayaan Tahun Baharu Cina sekali lagi disambut dalam suasana norma baharu disebabkan pandemik COVID-19, namun lebih menggembirakan apabila prosedur operasi standard (SOP) sambutan tahun ini lebih longgar berbanding tahun lepas termasuk berkaitan kebenaran acara makan keluarga dan aktiviti ziarah.
"Saya berharap kelonggaran yang diberikan ini dimanfaatkan sebaiknya, sentiasa patuhi SOP serta utamakan keselamatan diri dan orang sekeliling kita," katanya menerusi satu kenyataan, kelmarin.
Jelasnya, beliau turut menasihati kepada warga perantauan yang pulang ke kampung halaman supaya merancang perjalanan dengan sebaik mungkin dan memandu dengan penuh berhemah.
"Akhir kata, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian Kuai Le kepada seluruh masyarakat Tionghoa di Malaysia khususnya di Terengganu. Semoga kehadiran tahun baru ini membawa keharmonian dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya lagi.