Berita :
Terengganu Gesa Kaji Semula Harga Lantai Padi
Terengganu Gesa Kaji Semula Harga Lantai Padi
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
88

TERENGGANU, 5 Mei – Kerajaan digesa agar menyemak semula harga lantai padi sedia ada demi kelangsungan hidup para pesawah yang kini dihimpit kos pengeluaran yang semakin meningkat.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, penyelarasan harga itu sangat kritikal bagi memastikan golongan petani tidak terus terbeban dalam rantaian pengeluaran makanan negara.


Menurut beliau, kos mengerjakan sawah padi pada masa ini dianggarkan mencecah RM5,500 bagi setiap hektar, merangkumi kos membajak, pembelian benih, racun, penggunaan jentuai, pengangkutan dan perbelanjaan sampingan yang lain.


"Mengambil kira purata hasil sehektar sawah sekitar 3.5 metrik tan, ini bermakna kos untuk menghasilkan satu tan padi adalah kira-kira RM1,500.


"Apabila harga lantai padi sekarang kekal pada RM1,500, apa yang tinggal untuk pesawah selepas segala penat lelah mereka? Boleh dikatakan mereka seolah-olah hanya mendapat pahala kerana berkorban memberi rakyat makan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Dialog Bersama Pesawah Padi Kuala Nerus di Pertubuhan Peladang Kawasan Maras, Batu Rakit, semalam. 

Dr. Azman menegaskan tuntutan tersebut bukanlah sesuatu yang berlebihan, sebaliknya merupakan satu bentuk penyelarasan yang adil memandangkan bebanan kos yang perlu ditanggung pesawah ketika ini amat berat.


Ujar beliau, petani tidak mengharapkan keuntungan luar biasa atau mahu menjadi kaya-raya, namun sekadar menuntut sedikit ruang untuk terus bertahan dalam industri tersebut.

"Kita mahukan rantaian pengeluaran ini dilihat secara menyeluruh. Adalah tidak wajar sekiranya beban berat ini diletakkan sebahagian besarnya ke atas bahu pesawah semata-mata.


"Semua pihak termasuk operator jentera, pengilang, pemborong dan pengguna perlu berada dalam situasi menang-menang," tambahnya lagi.


Mengulas lanjut mengenai kadar kenaikan yang bersesuaian, beliau berpendapat perkara tersebut boleh dirundingkan bersama pihak berkepentingan dengan mengambil kira pelbagai justifikasi yang telah dikemukakan sebelum ini.


Walau bagaimanapun, katanya memandangkan penetapan harga padi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, beliau telah menggunakan pelbagai platform termasuk mesyuarat bersama peringkat Kementerian untuk menyuarakan isu tersebut.


"Isu ini perlu diteliti sebaiknya oleh pihak yang mempunyai autoriti. Kita telah suarakan perkara ini agar ada tindakan segera demi menjaga kebajikan para pesawah kita," jelasnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan