Berita :
Terengganu Miliki Studio TikTok Shop Pertama, Usahawan Diberi Akses Percuma
Terengganu Miliki Studio TikTok Shop Pertama, Usahawan Diberi Akses Percuma
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
112

KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Terengganu mencipta langkah baharu dalam landskap keusahawanan digital menerusi pembukaan studio TikTok Shop pertamanya hasil kerjasama strategik antara TikTok Shop Malaysia dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Inisiatif itu dilihat sebagai usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan digital negeri, khususnya bagi membantu usahawan tempatan menembusi pasaran dalam talian secara lebih agresif, tersusun dan kompetitif.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, dua studio TikTok Shop kini sedang dalam proses pengubahsuaian di YPU Terengganu.

Menurutnya, studio berkenaan akan menjadi antara kemudahan penting kepada usahawan bagi menghasilkan kandungan jualan yang lebih berkualiti, selain memperkukuh jenama dan meningkatkan jualan.

“Apabila siap kelak, studio ini akan diberikan akses percuma kepada usahawan Terengganu sebagai platform untuk mereka memperkukuh jenama dan meningkatkan jualan.

“Ia juga selari dengan perubahan trend pengguna yang semakin cenderung kepada platform digital seperti TikTok Shop,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas penganjuran Kursus Program Pemerkasaan Digital Niaga Terengganu TikTok Shop yang menghimpunkan lebih 200 usahawan di Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, bengkel selama dua hari tersebut dijangka memberi impak terhadap pembangunan ekonomi negeri dari segi jualan di platform digital,merangsang pertumbuhan keuntungan hasil pemasaran kreatif dan lain-lain lagi ke arah  ekonomi digital yang lebih kukuh dan berdaya saing di Terengganu. 

Ariffin berkata, kewujudan studio Tik Tok Shop itu bukan hanya menyediakan ruang rakaman, sebaliknya turut dilengkapi kemudahan sokongan seperti pencahayaan profesional, peralatan penstriman langsung dan bimbingan teknikal.

Katanya, kemudahan tersebut mampu membantu usahawan menghasilkan kandungan yang lebih kreatif, kemas dan menarik perhatian pembeli dalam pasaran digital yang semakin kompetitif.

Malah, beliau berkata, inisiatif itu juga dijangka melahirkan lebih ramai pencipta kandungan dalam kalangan usahawan tempatan, sekali gus memperkukuh jenama produk Terengganu di peringkat nasional.

Jelasnya, kemudahan tersebut berpotensi memberi impak besar kepada ekosistem keusahawanan negeri dengan mempercepatkan adaptasi teknologi dalam kalangan usahawan tempatan.

“Dengan adanya studio ini, kita mahu melihat lebih ramai usahawan Terengganu tampil berani, kreatif dan kompetitif dalam pasaran digital,” katanya.


Tag :

Bisnes
Ketupat

Artikel Berkaitan