Pantai Viral Besut Alami Hakisan Teruk  Dibadai Ombak

Oleh : Muhammad Safwan Mohd Sukeri

BESUT, 17 Disember – Pantai di Pachakan di sini mengalami hakisan teruk selepas dibadai ombak besar, menyebabkan kerosakan kepada jalan kampung dan beberapa gerai milik Majlis Daerah Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pachakan, Shafian Shafie, memaklumkan bahawa hakisan kecil telah berlaku sebelum ini, namun keadaan bertambah buruk selepas ombak besar membadai kawasan itu kelmarin.

"Jalan kampung yang terletak di pesisir pantai kini terputus sepenuhnya dan tidak dapat dilalui, manakala beberapa gerai berhampiran pantai hampir roboh akibat hakisan.

“Penduduk kampung amat bimbang kerana jika masalah ini tidak ditangani segera, ia boleh merebak dan menjejaskan kediaman penduduk berhampiran," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, semalam.

Menurutnya, Pantai Pachakan pernah menjadi tumpuan ramai kerana keindahan semula jadinya dan menarik kunjungan pelancong tempatan serta luar.

"Pantai yang pernah viral dulu ini bakal lenyap jika tiada usaha pemuliharaan segera dijalankan.

'Kini, penduduk Kampung Pachakan menantikan tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi melindungi kawasan pesisir pantai tersebut daripada terus terhakis," ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dapat dilaksanakan bagi memastikan kawasan pantai ini tidak hanya selamat, tetapi turut kekal sebagai destinasi tumpuan yang berharga.


Tag: