Jalur Gemilang
Berita :
 Para SUKMA 2026: Asrul Akhiri Penampilan Terakhir Dengan Pingat Emas
Para SUKMA 2026: Asrul Akhiri Penampilan Terakhir Dengan Pingat Emas
Mohd Irsyadi Abu Bakar
8 jam yang lepas
113

SHAH ALAM, 9 September - Pingat emas menjadi 'ucapan' selamat tinggal terbaik Asrul Hashim, 38, kepada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 apabila muncul juara selepas menang 3-1 ke atas atlet tuan rumah, Mohd Rizal Majid dalam kategori perseorangan Lelaki Kelas 4-5 (kerusi roda), semalam.

Asrul, yang membuat penampilan ketujuh dalam temasya sukan terbesar peringkat kebangsaan itu menzahirkan kegembiraan apabila dapat merebut kembali pingat emas setelah terlepas pada dua tahun lalu.

"Alhamdulillah, sebab sebenarnya ia memang azam saya untuk tamatkan penampilan saya di SUKMA dengan emas.

"Pada perlawanan tadi (semalam), saya agak leka selepas mendahului sehingga lawan dapat rampas satu set, mujur saya cepat fokus untuk kembali memenangi perlawanan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bekas pemenang pingat gangsa Sukan SEA Myanmar 2013 itu turut berharap agar lebih ramai pemain-pemain muda akan mendominasi sukan para Ping-pong selepas ini.

Beliau yang pernah memenangi pingat emas Para SUKMA secara tiga kali berturut-turut itu menyatakan, bahawa sukan tersebut mampu meningkat dengan lebih ramai tenaga baru.

"Selepas saya tiada nanti, saya rasa pemain-pemain lain akan dapat buat lebih baik lagi.

"Kepada adik-adik, saya nasihatkan supaya kekalkan semangat dan paling penting, sentiasa berdisiplin dalam latihan," katanya.

Setakat ini, skuad para Ping-pong telah berjaya mengumpulkan tiga pingat dengan satu Emas, satu Perak dan satu Gangsa.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan