PAS Terengganu Hantar Delegasi Bantu Kempen PRK Seri Setia


PAS Terengganu akan mengadakan mesyuarat  khas bagi  membincangkan tentang delegasi yang akan dihantar membantu Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dalam masa terdekat.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS negeri akan tetap menghantar bantuan jentera bagi mempastikan kemenangan calon PAS dalam PRK tersebut.

“Mereka yang terlibat dan berapa jumlah yang akan dihantar sepanjang tempoh  berkempen bakal dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan,”katanya yang juga Menteri Besar.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2018 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Yahaya Ali; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kebangsaan 2018, Ariffin Deraman dan Ketua Polis Negeri Datuk Aidi Ismail.

Ditanya tentang isu pengiktirafan komunis sebagai pejuang, Ahmad Samsuri memberitahu, dia  tidak faham kenapa masih ada pihak mahu mengiktiraf  golongan itu yang jelas tidak bersesuaian langsung untuk mendapat pengiktirafan.

“Pada masa sama  perkara itu boleh dianggap satu penghinaan kerana Malaysia sudah lama mencapai kemerdekaan hasil kerahan keringat, tumpah darah dan pengorbanan  nyawa daripada  anggota keselamatan dan masyarakat terdahulu,” katanya.


Terdahulu dalam ucapan, Ahmad Samsuri berkata  masyarakat hari ini terutama golongan belia harus  diserap dengan  pengertian tentang kemerdekaan, jati diri dan semangat patriotik supaya dapat memahami prinsip rukun negara untuk dihayati dan diamalkan.

Katanya, hanya mereka yang memahami semangat kemerdekaan saja akan menjana pengisian dan dapat memelihara kemerdekaan untuk semua pihak termasuk generasi baru.

“Pelbagai dasar telah digubal untuk memberi kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat dengan semuanya direka sejajar dengan kehendak dan keperluan semasa.

“Kefahaman tentang kontrak sosial sedia ada juga perlu dibincangkan dengan semangat patriotik yang tinggi dengan adunan elemen baru dan lama bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat,” katanya .


Tag: