KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan Terengganu akan membenarkan operasi pasar minggu, pasar tani, pasar pagi dan pasar malam mulai esok, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, waktu operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi dan terbuka adalah dari 6 hingga 11 pagi; manakala pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam.
"Alhamdulillah tinjauan yang dibuat dalam operasi pasar percubaan di Pasar Tani Padang Hiliran dan pasar malam di pekarangan Stadium Sultan Mizan baru-baru ini mendapati rakyat kita mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah kedudukan gerai ditetapkan antara 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.
"Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan di laluan masuk dan pengunjung perlu menggunakan pensanitasi tangan selain digalakkan memakai pelitup muka.
"Bagaimanapun, peniaga tidak boleh menyediakan meja atau tempat makan, dan pelanggan hanya boleh membawa pulang makanan dibeli," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah antara usaha kerajaan untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat.
Tambahnya, kedai gunting rambut, termasuk perkhidmatan dandanan rambut dan kecantikan juga dibenarkan beroperasi mulai esok dengan syarat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN.
"SOP yang lebih terperinci akan dikeluarkan dari masa ke masa. Peniaga juga akan diberi taklimat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Majlis Bandaraya setiap daerah," jelasnya.
Terdahulu Kerajaan Pusat mengumumkan PKPP bermula esok hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.