Pasar Tani Kekal Chukai Mula Beroperasi

KEMAMAN, 18 Mac - Pasar Tani Kekal (PTK) Chukai yang bertempat di Kampung Dusun Nyiur telah memulakan operasi perniagaannya secara rasmi sejak semalam.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, PTK Chukai diwujudkan bagi menempatkan para peniaga di bawah satu bumbung dengan menyediakan premis kekal yang lebih kemas.

"PTK adalah kesinambungan projek pembangunan bagi menaiktaraf serta penambah baik operasi Pasar Tani Runcit.

"Peserta PTK akan ditempatkan di bawah satu bumbung dan akan menjalankan perniagaan setiap hari dalam suasana yang selesa dan kondusif. Situasi ini akan memberi persekitaran yang mampu meningkatkan "volume" urusniaga dan secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masalah pemasaran hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan setiap hari.

Katanya, PTK akan mengekalkan "positioning" Pasar Tani Runcit iaitu memberi tumpuan kepada produk segar dan berkualiti pada harga yang berpatutan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, dengan adanya PTK Chukai ini memberi pilihan yang lebih luas buat masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.

"Terima kasih FAMA yang menyediakan kemudahan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan pembukaan PTK Chukai itu, semalam.