Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Terengganu kini dalam proses menyiapkan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAS-T) iaitu pusat jagaan anak-anak autism yang menyediakan pendidikan kemahiran vokasional bagi memupuk nilai berdikari.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat tersebut telah menelan belanja kos kira-kira RM2 juta dan dijangka bakal beroperasi pada Jun depan di Batu Buruk
“Bangunan (belakang Kuala Terengganu Specialist Hospital) tersebut telah diubahsuai daripada kuarters kerajaan lama yang mempunyai empat bangunan, melibatkan kos termasuk kos operasi, kelengkapan pembelajaran kira-kira RM2 juta.
“Kita akan menempatkan golongan sasar tersebut seawal dari umur tiga tahun.
“Kebanyakan pusat autisme tidak memfokuskan pendidikan secara menyeluruh, oleh itu, model baharu yang dirangka ini akan memfokuskan kemahiran vokasional, kelas bersama pengajar pertuturan, kelas al-Quran dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya, melalui kesinambungan pendidikan yang diberi secara percuma kepada golongan B40, pusat tersebut dapat melahirkan lepasan berumur 17 hingga 18 tahun dengan kemahiran melakukan kerja dan mampu membina hidup sendiri.
Terdahulu, cadangan pembangunan pusat model baharu itu telah dibentangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rina Mohd Harun dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.
Untuk rekod, terdapat lebih 500 kanak-kanak autism di seluruh Terengganu yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.