Patuhi Arahan Keselamatan Di Tempat Kerja - Wan Hapandi

Wan Hapandi Wan Nik menziarahi salah seorang penduduk yang sedang sakit di DUN Sura.
Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN - Setiap pekerjaan yang dilakukan baik di rumah mahupun ditempat kerja, haruslah berpandukan peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Cikgu Haji Wan Hapandi Wan Nik menasihatkan kepada orang ramai tentang pentingnya mematuhi akta keselamatan di tempat kerja.

“Biar apa pun kerja yang kita lakukan, pastikan kita mematuhi peraturan-peraturan yang telah digariskan.

“Kalau berada di tapak kerja, mesti mengikut arahan dari pegawai keselamatan yang bertugas agar tidak berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini”, jelasnya mengulas kecederaan salah seorang mangsa kemalangan di tempat kerja yang diziarahinya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Kebajikan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Bersama YB di beberapa buah kampung termasuk Kampung Padang Jambu, Kampung Alur Tembesu dan Kampung Sura Tengah, semalam (18 September).

Menurutnya Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, walaupun pekerjaan tersebut dilakukan di rumah, namun aspek keselamatan haruslah diambil perhatian yang serius.

“Bertukang di rumah sendiri pun perlu patuh kepada aspek keselamatan biarpun tiada yang mengawasi," ujarnya.

Program ziarah tersebut yang bermula selepas solat Asar menghimpunkan seramai 15 orang pemuda untuk bersama sama menziarahi mereka yang sakit.


Turut hadir, Ketua Pemuda PAS DUN Sura, Ustaz Ahmad Mukrim Adnan dan timbalannya serta Pemuda-pemuda PAS DUN Sura.

Tag: