Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam, Tuhan Yang Maha Esa. Salam dan selawat ke atas Rasulullah SAW, Ahli Keluarga, dan para sahabatnya, serta para tabiin yang telah mendahului kita.
“Sesungguhnya Allah SWT menciptakan apa yang dirancang, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya”. (Surah Al Qasas ayat 68)
Sidang perwakilan sekalian.
Sesungguhnya, saya lontarkan mafhum terjemahan ayat tersebut sebagai pembuka bicara, kerana kita semua dalam Dewan Merdeka ini, adalah insan terpilih, pemimpin masyarakat akar umbi. Kitalah umara’ penyambung perjuangan menyebarkan “Risalah Nubuwwah”.
Kita seharusnya menjadi pemimpin “Qudwah Hasanah”, role model yang boleh memberi teladan terbaik kepada masyarakat.
Malam ini, saya berdiri di hadapan bangsa untuk mencanai minda dalam kalangan sidang perwakilan dari Bahagian Padang Besar, Perlis hingga ke Bahagian Kudat di Sabah. Kita berhimpun di rumah agam ini, dari 191 bahagian seluruh negara, membawa niat dan hajat, mendengar debat dan amanat, demi kelangsungan umat sejagat. Persidangan ini adalah himpunan suara bangsa, menyatukan minda dan idea, merentasi kepelbagaian etnik dan budaya.
Inilah satu keindahan dan keunikan. Bagai, bila tabuh dipalu, tiupan nafiri dimainkan, yang capik datang bertongkat, yang buta teraba-raba, yang tuli leka bertanya, yang jarak tolak-tolakan, yang rendah bertinjau-tinjau, yang dara duduk bersimpuh, yang teruna duduk bersila. Semuanya atas satu agenda untuk menyambung wasilah perjuangan bangsa. Inilah Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017. Inilah perhimpunan kita!
Sidang perwakilan sekalian.
Saya tidak mahu lagi berbicara tentang 7 cabaran politik yang diutarakan dalam persidangan tahun lalu. Malam ini, saya akan bentangkan 7 manifesto bangsa yang akan menjadi satu gagasan besar. Ia juga bekalan pemikiran dan asas tindakan kita dalam menghadapi PRU ke-14.
Inilah Inilah manifesto sebelum manifesto. Inilah manifestasi akujanji kita kepada rakyat. Saya percaya 7 manifesto ini yang merangkumi 7 lembayung arjana (kejayaan) bangsa akan menjadi pegangan kita buat selama-lamanya.
Agak-agaknya kenapalah saya memilih angka 7 ini ? Sebenarnya angka tujuh sering diulang dalam Al-Quran.
Allah SWT menciptakan tujuh petala langit, tujuh petala bumi,
Dan disempurnakan pada hari ketujuh
Ada 7 lautan dan ada 7 benua.
Penciptaan manusia juga mempunyai tujuh fasa
Pensyariatan tujuh pusingan tawaf dan
Tujuh kali ulang-alik bagi sa’ie dalam ibadah haji dan umrah
Melontar jamrah juga dengan tujuh biji batu
Takbir pertama solat sunat hari raya juga sebanyak tujuh kali.
Dengan ketentuan Allah SWT 7 orang presiden telah memimpin UMNO sejak 7 dekad yang lalu
Pastinya, Dato’ Sri Najib sebagai Presiden UMNO ketujuh, cabarannya bukan kecil tetapi besar. Cabarannya amat berbeza dengan presiden terdahulu tambahan pula ketika ini adanya ancaman media sosial. Terima kasih aktivis media sosial prokerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu kita. Biro IT UMNO juga tidak kurang hebatnya sentiasa memberi penjelasan isu semasa, dan menangkis tohmahan pembangkang dan membalas serangan.
Pada zamannya juga tercetus suatu revolusi ekonomi dan industri yang dipacu oleh ledakan teknologi digital. Kita kini memasuki Revolusi Industri Keempat, mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi dan berdagang.
Ia membabitkan kemunculan teknologi baharu seperti robotik, artificial intelligence (kepintaran buatan), teknologi nano, teknologi quantum, bioteknologi, percetakan 3D dan ‘autonomous vehicles’ atau kenderaan serba canggih.
Selain itu, semua peranti elektronik sama ada di rumah atau dalam industri telah dilengkapi dengan perisian dan alat pengesan perubahan (sensor) yang membolehkan peranti berkongsi dan bertukar maklumat di antara satu sama lain. Ini terkandung dalam Internet of Things atau IoT.
Ia pasti memberi kesan kepada geopolitik, ekonomi, keselamatan, sosial dan pendidikan negara.
Hanya sebuah parti politik yang dinamik dan progresif mampu menghadapi gelombang baharu ini. Dasar tidak pernah berubah yang berubah hanyalah pendekatan. Alhamdulillah, Dato’ Sri Presiden yang berlatarbelakang pendidikan ekonomi mampu membawa kita mengharungi Revolusi Industri Keempat ini. Kita semua ahli UMNO memberikan dokongan penuh kepada panglima kita.
Sidang perwakilan sekalian.
Gerbang PRU 14 kian kita hampiri. Dari hitungan ‘eddah’ politik, tempoh tamat penggal ini akan berakhir pada Jun 2018. Tidak boleh lari dari jeda masa itu, kita akan turun ke gelanggang sederap serentak. Datanglah Januari, datanglah Mac, atau bulan apa pun, kita akan hadapinya. Yang penting, kita harus memiliki “winning mentality” atau mentaliti untuk menang. Ia bukan sekadar konsep, bukan sekadar falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan.
Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun! Obor perjuangan yang kita bawa bersama persis kisah Tariq Ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan akan kita terjemahkan. Namun, berpaling tidak sama sekali!
UMNO tidak boleh KALAH! BN tidak boleh TEWAS! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional.
LEMBAYUNG KESEJAGATAN POLITIK
Sidang perwakilan sekalian.
UMNO adalah sebuah parti politik yang masih bertahan dan relevan sehingga hari ini. Berbanding parti politik lain UMNO adalah sebuah parti politik, parti keramat paling unggul