Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
“
Nostalgia Dongeng, Harapan Palsu, Transformasi Sebenar ”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat kita sekali lagi berkumpul di perhimpunan tahunan terbesar parti keramat orang Melayu. Sesungguhnya ini adalah satu tanggungjawab yang berat bagi kita yang mewakili suara akar umbi dari seluruh pelosok tanah air sebagai pewaris kepada perjuangan yang telah menentang penjajah, memerdekakan negara dan memajukan bangsa.
2. Dalam kita berhimpun di dewan serba indah ini, jangan dilupa mereka yang diuji dengan musibah banjir – yang kini di pusat pemindahan, menunggu surutnya air, menadah harapan. Kepada Allah SWT kita berdoa agar semuanya diselamatkan, dipermudahkan urusan dan diberi ketabahan.
Para perwakilan sekalian,
3. Kita bukanlah yang pertama, bukan juga yang terakhir. Di medan inilah lahirnya sebuah perjuangan yang suci, yang digagas pejuang terdahulu dan ditatang generasi ke generasi, zaman berzaman. Dan untuk tika dan saat ini, perjuangan suci itu tergalas di atas bahu kita semua.
4. Apa yang saya maksudkan adalah – kita merupakan penyambung kepada sebuah perjuangan murni – perjuangan untuk menyatukan bangsa. Bukan perjuangan yang disulam kebencian terhadap sesiapa, tetapi satu wadah yang mulia, yang lahir di istana dan bukan di jalan raya – yang memungkinkan penyatuan orang Melayu, yang menzahirkan cita-cita orang Melayu, yang mempertahankan hak dan kedaulatan orang Melayu. Sebuah perjuangan yang dibina atas harapan sebenar untuk mengangkat martabat bangsa, bukan atas benci, bukan atas dendam, semata-mata untuk kuasa.
5. Tahun lepas, pada pentas yang sama kita telah melafazkan ikrar persediaan Pemuda kepada pucuk pimpinan parti bagi menghadapi perang besar kita tidak lama lagi. Kita melaungkan slogan perang mewakili lebih 600,000 Tariq Ibn Ziad sebagai hulubalang parti. Namun hari dan purnama berlalu, gendang perang masih belum dipalu. Tapi janganlah ini membuatkan kita alpa dan leka, menyandar dari kedudukan siap siaga. Kerana tiada lagi teka teki sama ada ini perhimpunan agung terakhir parti sebelum PRU ke-14 nanti.
6. Maka atas kesedaran itu, biarlah perhimpunan kali ini kita tumpukan kepada satu persoalan sahaja. Rakyat Malaysia kini berada di sebuah persimpangan dilema – kekal atau ubah. Satu pangkah yang bakal menentukan nasib mereka hari ini, dan masa depan anak dan cucu mereka nanti. Lebih daripada pilihan raya-pilihan raya yang lalu, membuat keputusan itu amat sukar kali ini kerana lanskap politik telah banyak berubah. Justeru, ramai yang masih di atas pagar, memerhati dan mencongak-congak, dan hanya akan membuat pilihan di saat akhir nanti.
7. Di Pakatan sebelah sana, walaupun tetap caca merba, kini wajahnya berbeza. Partinya sudah berbeza. Pemimpinnya juga bertambah, apabila ada yang berpaling tadah dari sini ke sana. Mereka mempersembahkan nostalgia, gandingan Mahathir dan Anwar – sebuah gabungan lama pemerintah negara namun dijenama sebagai gabungan masa depan. Mereka juga menjaja harapan, dengan belanjawan dan track record di negeri mereka berkuasa, juga kononnya ditunjangi bakat muda yang lebih hebat daripada kita.
8. Alhamdulillah, UMNO pula kini kuat semula apabila sudah pulih dari drama pembelotan dan perebutan kuasa. Barisan telah kita kembali rapatkan dan hati telah kita satukan semula. Perjuangan kita tidak menjaja gula-gula namun bertunjangkan kepada transformasi yang digarap untuk Malaysia.
9. Maka, persoalan besar yang saya maksudkan itu adalah mengapa rakyat perlu mengundi kita, Barisan Nasional? Mengapa di kotak undi nanti, hanya dacing yang perlu dipangkah, dan bukan yang lain. Bahawa nostalgia dongeng yang dilagukan di sana, bahawa harapan palsu yang digula-gulakan mereka, tiada bandingannya dengan keazaman dan transformasi sebenar yang kita bawa.
10. Di perhimpunan agung terakhir sebelum kita turun ke gelanggang ini, marilah kita bangkitkan keyakinan orang ramai bahawa UMNO lah pilihan yang satu, prihatin terhadap rakyat, bijak mengurus negara – bahawa UMNO lah yang terbaik untuk meneraju dan mengemudi Malaysia dalam menghadapi apa jua cabaran melanda.