Sebahagian perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017 . Foto Mastura Jamaldin |
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus memiliki `winning mentality' atau mentaliti untuk menang. Ia bukan hanya sekadar konsep dan falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan,” kata Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Sayap UMNO di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurutnya, di peringkat serantau dan global, UMNO adalah parti politik yang masih kekal memerintah dan tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak 1955.
"Kita bukan riak, jauh sekali mahu bersikap takabur. Ini adalah fakta yang sama sekali tidak boleh disangkal.
"Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun..UMNO tidak boleh kalah, BN tidak boleh tewas dan paling penting kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan!
Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional,"katanya.
Seramai 2,978 perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017 kali ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan betapa pentingnya gerak kerja di semua tiga sayap melaksanakan tanggungjawab itu secara holistik dalam misi mencapai kemenangan besar atau simboliknya 2314 (sasaran dua pertiga majoriti pada PRU14).
Katanya, UMNO mempunyai penyokong tegar sejak dahulu hingga sekarang dan perlu memastikan supaya 100 peratus ahli UMNO mengundi dan memihak kepada BN pada PRU14.
"Kita tidak mahu ada yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga ke saat akhir. Pastikan undi mereka masuk ke kantung BN! Begitu juga ahli-ahli parti dalam komponen BN, pastikan mereka meletakkan kertas undi memilih BN sepanjang masa.
"Kita perlu menang besar. Kita mesti utamakan parti. Justeru, ketepikan soal berkecil hati merajuk dan sabotaj parti kerana ia hanya akan melumpuhkan gerak kerja kita,"ujar Ahmad Zahid.