Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
Dato' Seri Ahmad Razif dan isteri, To' Puan Seri Halina bersama rombongan sempat meluangkan masa ke Laman Media di PWTC sempena PAU 2017. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim. |
Formula 'likable' dan 'winnable' akan diguna pakai oleh UMNO dan Barisan (BN) Nasional Terengganu untuk memastikan isu 'cah keting' dapat diatasi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, isu tersebut adalah perkara biasa berlaku dalam PRU yang lalu, bagaimanapun ianya perlu diatasi untuk kepentingan bersama dan parti.
Katanya, dalam mengatasi isu tersebut juga Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu telah mewujudkan satu jawatankuasa baru dinamakan ' Crisis Room'.
"Kita telah wujudkan satu jawatankuasa yang dinamakan 'Crisis Room' untuk mengurangkan apa sahaja isu yang berkait dengan 'cah keting'.
"Kita telah kenal pasti di setiap DUN dan parlimen siapa yang akan 'cah keting'. Jadi kita sudah buat persiapan apakah tindakan yang akan di ambil atas permasalahan ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam lawatanya ke Laman Media bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Dr Mohd Rozailan Ibrahim @ Mamat dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Dato' Muda Mamat.
Dalam lawatan tersebut, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan kepada media yang bertungkus-lumus membuat liputan sempena PAU 2017 tersebut.
Mengulas lanjut mengenai pembangkang di Terengganu, Ahmad Razif berkata pihak UMNO negeri tidak mempunyai masalah kerana telah bersedia untuk menghadapinya.
Katanya, dengan penambahan parti-parti serpihan yang baru, ianya sedikit sebanyak memberi lebih keuntungan untuk UMNO.
"Cuma apabila pertandingan satu lawan satu mungkinlah yang ini akan jadi 50-50 di sebahagian tempat, tetapi apabila berlaku tiga penjuru dan lebih sudah tentu insyaallah ini akan memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional," katanya.