PBT Terengganu Diarah Tidak Perbaharui Lesen Perniagaan Vape
KUALA TERENGGANU, 20 November- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarahkan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan vape atau rokok elektronik di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan semua PBT di Terengganu supaya tidak lagi mengeluarkan lesen untuk memperbaharui perniagaan tersebut.
"Kalau dari segi pengharaman, memang negeri-negeri sudah terima pakai fatwa daripada sebelum ini bahawa vape itu haram.
"Di peringkat negeri, kita ada kuasa di bawah PBT untuk tak membenarkan lagi premis perniagaan milik PBT digunakan sebagai tempat penjualan vape selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, keputusan untuk tidak membenarkan PBT memperbaharui lesen perniagaan vape adalah untuk menjaga kemaslahatan umum terutama golongan muda.
Baru-baru ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Namun begitu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan Kerajaan Persekutuan berpendirian belum tiba lagi masa untuk pihaknya mengharamkan penjualan vape seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara maju di dunia.
Bagaimanapun, beliau tidak keberatan jika ada negeri-negeri yang mahu melarang penjualan produk tersebut.