• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

PDRM Hanya Benarkan 10 Peratus Anggota Bercuti Sempena Raya



Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu hanya membenarkan 10 peratus  daripada keseluruhan 3,474 pegawai dan anggotanya bercuti  sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Terengganu Dato' Aidi Ismail berkata, anggota dan pegawai ini akan terlibat dalam Ops Selamat bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini sempena musim perayaan ini.

"Seramai 530 orang termasuk 188 pegawai dan anggota trafik ditugaskan untuk memastikan keamanan dan ketenteraman rakyat di negeri ini dari segi penguatkuasaan undang-undang jalan raya termasuklah jenayah lain seperti  pecah rumah dan kecurian.

"Kita telah mengenal pasti dua kawasan panas iaitu Kilometer (KM) 10.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Chendering) dan KM72 hingga 73 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kampung Pulau Serai) yang menjadi antara lokasi kerap berlaku kemalangan.

"Orang ramai perlu mematuhi peraturan yang  ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 11/2017 di Plaza Tol Ajil, Hulu Terengganu, petang semalam.

Majlis perasmian kempen disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.



Tambah Aidi lagi, jangkaan  kesesakan akan berlaku di tujuh laluan di negeri ini masing-masing empat jalan di Kuala Terenganu iaitu Jalan Sultan Mohamad; Jalan Tengku Mizan, Bulatan Batu 6 menghala ke Banggol Air Lilih dan Plaza Tol Kuala Terengganu manakala dua di Setiu (Persimpangan Chalok dan Persimpangan Guntung Luar) dan Pekan Jertih di Besut.

Sementara itu, Roslee turut menasihatkan para pengguna jalan raya supaya berhati-hati  sepanjang pemanduan pulang  dan sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini.

Tag: