Pegawai Exco Terengganu Lapor Polis Berhubung Kenyataan Fitnah

KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Mohd Sukri Mazlan membuat laporan polis susulan kenyataan mengfitnah Ariffin Deraman.

Menurut Mohd Sukri, dakwaan jahat dan tidak benar yang disebarkan individu tersebut adalah menyatakan Ariffin sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan satu tuntutan palsu bernilai RM1.65 juta.

Mohd Sukri Mazlan

“Kenyataan ini adalah satu fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat dan berniat untuk menjatuhkan kredibiliti beliau.

“Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera supaya masyarakat tidak terpalit dengan taburan fitnah sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menyuarakan kekecewaan terhadap penyebaran berita palsu dengan menyifatkannya seperti ‘membaling batu, sembunyi tangan’.

Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin

“Jika ada bukti-bukti boleh terus ke SPRM, jangan berselindung di sebalik permainan politik murahan ini yang berniat sinis untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan seorang exco yang banyak mengharumkan industri pelancongan negeri.

“Terutamanya ketika kerajaan sedang giat berusaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, perkara sebegini tidak membawa sebarang kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Laporan polis dibuat bagi mewakili Ariffin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 11.40 pagi.