Berita :
 Pekan Kebudayaan Kembali Jadi Wadah Angkat Warisan Daerah
Pekan Kebudayaan Kembali Jadi Wadah Angkat Warisan Daerah
Rohayati Ripin
14 jam yang lepas
119

KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu akan memperbaharui konsep Pekan Kebudayaan bagi mengembalikan fungsi asalnya sebagai platform mempromosikan warisan, budaya dan identiti setiap daerah kepada generasi muda serta pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran pekan budaya pada masa kini dilihat semakin menyimpang daripada matlamat asal apabila lebih tertumpu kepada aktiviti jualan sehingga menyerupai pasar malam.

Menurutnya, konsep baharu yang dikenali sebagai Karnival Pekan Kebudayaan akan memberi penekanan kepada persembahan kebudayaan, adat resam, pakaian tradisional, makanan warisan, tarian, nyanyian dan pelbagai identiti unik yang dimiliki setiap daerah.

"Kita mahu kembali kepada tujuan asal penubuhan Pekan Kebudayaan, iaitu menterjemahkan kebudayaan daerah kepada masyarakat, khususnya generasi muda dan pelancong luar.

"Setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri yang perlu diketengahkan supaya warisan tempatan terus dipelihara dan dikenali," jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Razali berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan khas bagi memperkukuhkan pelaksanaan program itu secara berperingkat sebelum diperluaskan ke semua daerah sempena Tahun Melawat Terengganu 2027.

Justeru itu, beliau turut menggesa pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung memainkan peranan mengenal pasti keunikan serta produk tempatan di kawasan masing-masing untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan dan sumber ekonomi komuniti.

Tambahnya, setiap daerah mempunyai potensi tersendiri sama ada hasil laut, makanan tradisional, kraftangan mahupun budaya setempat yang boleh diberi nilai tambah agar menjadi produk pelancongan berdaya saing.

"Apabila setiap daerah mempunyai identiti yang jelas, pelancong bukan sahaja datang menghadiri sesuatu acara, malah mereka dapat mengenali budaya dan keunikan Terengganu secara lebih dekat," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan