lightning-solid
Berita :
Pelaburan Pendidikan Jadi Teras Kemajuan Terengganu
Pelaburan Pendidikan Jadi Teras Kemajuan Terengganu
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Kerajaan Negeri akan sentiasa memartabatkan sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada anak-anak Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, sesebuah negeri atau negara akan sukar bergerak ke hadapan tanpa pendidikan.

4bee8947-10d2-412d-a2e7-07b4b6064365.jpg 82.76 KB

“Justeru, kita akan terus memperkukuh sektor pendidikan negeri dan memberi rangsangan untuk pelajar terus cemerlang melalui bantuan biasiswa, memperbaiki prasarana sekolah, menambah program latihan untuk guru dan membuka laluan kerjaya bagi para graduan.

“Setiap ringgit yang dilaburkan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan Terengganu yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2025 (kali ke-45) dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2024 di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 907 pelajar terpilih yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM dan STAM bagi tahun 2024 diraikan.

87ac5335-7cbe-4ccb-89f3-fc9efa494bcb.jpg 107.87 KB

Dalam pada itu Satiful memaklumkan, Terengganu kekal sebagai negeri terbaik di peringkat kebangsaan dalam peperiksaan STPM selama enam tahun berturut-turut (2019-2024) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang melebihi paras kebangsaan.

“Begitu juga dalam peperiksaan SPM, Terengganu turut mencatat Gred Purata Negeri (GPN) yang mengatasi paras nasional untuk tempoh yang sama,” ujarnya.

Katanya, rekod berkenaan bukan suatu kebetulan tetapi hasil usaha kolektif ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan anak-anak pelajar.


Artikel Berkaitan