Pelajar Cemerlang STPM Terima Sumbangan ADUN Sura
Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin
DUNGUN, 10 September– Seramai lapan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di DUN Sura telah menerima sumbangan penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin.
Pelajar-pelajar tersebut merupakan mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5 ke atas, dan sumbangan tersebut telah diagihkan melalui kunjungan ke rumah masing-masing.
Menurut Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, sumbangan terbabit sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih para pelajar yang telah berjaya mengharumkan nama kawasan DUN Sura dengan pencapaian akademik yang cemerlang.
Beliau turut menyatakan hasrat agar sumbangan tersebut dapat dijadikan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam bidang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan. Pendidikan adalah kunci untuk masa depan yang cerah, dan saya ingin melihat lebih ramai pelajar dari DUN Sura berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan.
Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar tempatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan.
"Saya ingin melihat anak-anak muda di kawasan ini menjadi pemimpin masa depan yang berilmu dan berakhlak. Kita akan terus menyokong apa jua keperluan mereka bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas," ujarnya.