Cubaan memesongkan agama yang menggunakan nama ‘Mother of God’ di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak tidak menyasarkan pelajar Islam.
Sebaliknya kumpulan ajaran sesat terdiri daripada tujuh individu itu dikesan hanya menumpukan mahasiswa di kalangan mereka bukan beragama Islam.
Naib Canselor universiti itu, Dato' Dr Ahmad Zubaidi Ab Latif berkata, pihaknya mengakui ada aduan mengenai usaha penyebaran ajaran sesat itu di universiti berkenaan.
Katanya, bagaimanapun pihaknya dapat menangani kegiatan itu hasil kerjasama semua pihak termasuk pelajar dan polis dalam tempoh yang singkat.
"Difahamkan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran itu sudah dalam makluman dan siasatan pihak berkuasa.
"Kami memperketatkan lagi tahap keselamatan di UniSZA selain sentiasa membuat pemantauan di kalangan pelajar termasuk 568 orang pelajar bukan berbangsa Melayu di UniSZA," katanya kepada pemberita pada sidang media di UniSZA, Kuala Nerus, hari ini.
Ahmad Zubaidi turut memberitahu selain penganut agama Islam, pihaknya juga menjaga kebajikan semua pelajar bukan Islam dan berusaha mencegah mereka daripada terbabit dengan ajaran baru yang boleh menimbulkan pelbagai masalah.
"Kegiatan penyebaran ajaran Mother of God itu sudah dikawal dan usaha penyebarannya sejak 13 November lalu di UniSZA dapat dikawal.
"Saya memuji pelajar-pelajar yang prihatin tampil membuat aduan sehingga kegiatan pihak berkenaan dapat dipatahkan," katanya.
Sebelum ini, tular mengenai penyebaran ajaran sesat yang mengaitkan agama Kristian di kalangan pelajar bukan Islam di UniSZA.
Ajaran World Mission Society Church Of God yang dikenali sebagai Mother of God disebarkan di universiti itu sejak 13 November lalu melalui beberapa orang individu yang kononnya menawarkan tawaran projek tahun akhir kepada pelajar bukan Islam.
Bagaimanapun perkara itu tersebar selepas seorang daripada pelajar yang ditemui kumpulan itu berasa ragu dan membuat laporan kepada pihak UniSZA.