Pelajar Maahad Tahfiz Al Busyra Johan Hafazan Kebangsaan
MARANG, 22 Jun - Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Busyra, Kuala Terengganu, Muhammad Fakhrurazi Yahaya, 21 dinobat sebagai Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 20 Juzuk Berserta Tarannum (Hafiz) sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1444H/2023M.
Anak jati Kampung Bukit Che Nik, Binjai Rendah, Marang itu berkata, dia muncul sebagai Hafiz Terbaik selepas mencatat markah tertinggi iaitu 97.85 peratus.
"Saya merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Busyra, Pengadang Baru, Kuala Terengganu. Berkat didikan dan ajaran guru di sana saya dapat menghabiskan hafalan al-Quran 30 juzuk dalam masa 3 tahun 10 bulan.
"Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Ustaz Fakhruddin, Ustaz Malik Karim, Tuan Guru Jusoh Ismail dan guru tarannum saya yang lain atas teguran, tunjuk ajar dan didikan yang diberikan hungga ke hari ini," katanya ketika dihubungi wakil media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ditanya apa yang menginspirasikan beliau sehingga bergelar Hafiz, katanya dia mendapat didikan Al-Quran sejak kecil dari ayahnya sendiri Yahaya Md. Din yang juga merupakan guru Al-Quran selain kakak sulungnya yang bergelar Hafizah seawal umur 15 tahun dan aktif menyertai musabaqah tilawah dan hafazan Al-Quran hingga peringkat kebangsaan.
Beliau mula berjinak-jinak belajar untuk menghafal al-Quran bermula dengan juzuk Amma seawal umur 8 hingga 11 tahun dengan memasuki Pusat Elit Quran Centre (EQC) yang merupakan tempat ayahnya pernah mengajar al-Quran.
"Alhamdulillah. Saat diinobatkan sebagai johan tu sungguh saya tidak sangka dan terkejut hingga mengalirkan airmata disebabkan ini adalah pengalaman kali pertama saya menyertai musabaqah mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan.
"Kemenangan saya ini tidak dijangka malah saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menjadi johan kerana persaingan dari sahabat-sahabat hafiz negeri lain sangat sengit. Perbezaan markah pun sangat tipis hanya berbeza beberapa peratus sahaja," tambahnya.
Dia turut memberi sedikit pesanan motivasi kepada anak muda dan yang bergelar hafiz hafizah agar sentiasa belajar dan terus belajar kerana semakin kita belajar.
"Sesungguhnya perjuangan menjadi seorang yang bergelar hafiz bukan sesuatu yang mudah dan menuntut mujahadah yang tinggi, pengorbanan masa tenaga, penat lelah dan air mata. Kerajinan untuk kita selalu istiqamah murajaah (mengulang) al-Quran tu sangat penting supaya hafalan sentiasa segar di ingatan.
"Harapan saya semoga kita semua berakhlak dan mengamalkan ajaran al-Quran dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga al-Quran ini menjadi saksi air mata, perjuangan, penat lelah, pengorbanan kita dalam menghafal dan mempelajarinya. Semoga al-Quran dapat memberi syafaat kepada kita semua diakhirat kelak", luahnya.
Dengan kemenangan terebut, Fakhrurazi layak membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan dan tambahan wang tunai RM7,000 bagi menunaikan ibadah umrah.
Terdahulu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah sempena MTHQK yang berlangsung selama enam hari di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA), Arena Butterworth, Pulau Pinang.