Jalur Gemilang
Berita :
Pelajar Miskin, Fisabilillah Terengganu Terima RM217 Juta Bantuan Zakat Pendidikan
Pelajar Miskin, Fisabilillah Terengganu Terima RM217 Juta Bantuan Zakat Pendidikan
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
55

KUALA TERENGGANU, 21 September – Lebih RM217 juta bantuan zakat bagi sektor pendidikan disalurkan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) kepada golongan miskin dan fisabilillah sejak 2021 hingga 12 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Norhana Yaakub berkata, bantuan itu meliputi keperluan awal pendidikan serta bantuan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, bantuan awal pendidikan kepada golongan miskin melibatkan 23,449 penerima dengan peruntukan RM27.13 juta.

Bagi kategori fisabilillah pula, sebanyak RM48.39 juta disalurkan kepada 56,908 penerima bagi tujuan sama.

“Bagi kategori bantuan awal dalam dan luar negara, seramai 23,449 penerima daripada golongan miskin menerima bantuan berjumlah RM27.13 juta.

“Manakala bagi golongan fisabilillah, seramai 56,908 penerima menerima bantuan keperluan awal dengan jumlah keseluruhan RM48.39 juta bagi tempoh sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norhana berkata, sebahagian besar peruntukan turut disalurkan bagi membantu pelajar meneruskan pengajian di IPT dalam dan luar negara.

Bagi kategori itu, seramai 47,239 pelajar daripada golongan miskin menerima bantuan berjumlah RM59.73 juta.

Sementara itu, RM82.42 juta lagi disalurkan kepada 78,798 pelajar daripada golongan fisabilillah.

Secara keseluruhan, empat kategori bantuan berkenaan merekodkan 206,394 penerima dengan nilai agihan RM217.67 juta sepanjang tempoh tersebut.

Norhana berkata, penyaluran bantuan itu antara usaha YPM memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada penerima yang layak untuk meneruskan pendidikan.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga, selain memberi peluang kepada anak-anak daripada golongan fakir dan miskin meneruskan pendidikan tanpa kekangan kewangan,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan