Dato' Seri Abdul Hadi Awang (tengah hadapan) meraikan guru dan pelajar SMAASZA yang mahu bergambar. Foto oleh - Aziz Hambali |
KUALA TERENGGANU, 14 April - Seorang penuntut sebuah pusat tahfiz negeri Terengganu memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam sebuah majlis Bicara Tokoh Alumni SMA(A)SZA (Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin), di sini pagi tadi kerana mengkritik beliau di media sosial sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Seorang pelajar tahfiz yang enggan namanya disebut secara terbuka meminta maaf kepada ahli parlimen itu di hadapan pelajar-pelajar, tenaga pengajar serta kakitangan sekolah berkenaan.
"Sebenarnya saya berdiri di sini ialah untuk meminta maaf kepada Tuan Guru kerana sejak dari sebelum PRU14 lagi saya sebagai manusia yang serba kekurangan termakan dengan fitnah dan tohmahan orang terhadap Tuan Guru," katanya.
Beliau sekarang mengambil sikap mendiamkan diri, tidak bertindak menyebarkan tohmahan dan fitnah terhadap ahli parlimen itu lagi seperti kebiasaannya.
Selepas PRU14 tohaman terhadap Presiden PAS itu disifatkannya sebagai tuduhan jahat terhadap pejuang Islam.
" Al-Hamdulillah selepas PRU ini kita dapat tahu dengan jelas, betapa itu semua adalah sekadar kata-kata orang yang jahat terhadap Islam.
"Jadi saya sekali lagi ingin meminta maaf dari Ayah Chik atas segala sangka buruk yang saya lakukan terhadap diri Ayoh Chik selama ini," tambahnya lagi.
Kira-kira 300 pelajar sekolah tersebut memberi tepukan gemuruh sejurus mendengar permohonan maaf dari pelajar berkenaan.
Sementara itu Tuan Guru Abdul Hadi yang juga dipanggil Ayah Chik secara terbuka juga memaafkan pelajar berkenaan sambil menyifatkan sikap memberi kemaafan kepada seseorang akan mendapat ganjaran dan kelebihan dari sisi Allah.
"Jika Tuhan Yang Maha Besar boleh mengampun dosa hamba-Nya, saya ini apalah sangat. Kita kena memaafkan kepada sesiapa yang beriman dan memaafkan orang sebagai satu kelebihan," jelasnya.
Abdul Hadi menyifatkan ucapan dan kritikan yang pedas dan pahit yang pernah dihamburkan kepada beliau berupaya mengundang pahala percuma jika bersabar menghadapinya.
"Bila orang kata kepada saya kata macam-macam, yang pedas pun ada yang pahit pun ada, saya anggap ia memberi pahala percuma kepada saya.
"Jadi kita sembahyang tahajud bukan banyak sangat, puasa sunat bukan banyak sangat, sedekah pun harta tak banyak tetapi boleh pahala banyak kerana orang menfitnah kita. Bagaimana pun untuk menahan dari kata-kata itu kita hendaklah bersabar," ujarnya.
Beliau tidak akan membaca tulisan yang membuat tohmahan buruk terhadap beliau kerana membaca tulisan yang bermanfaat lebih baik dari membaca tulisan tohaman jahat itu.
"Sekiranya ia berkait dengan tulisan, saya tidak baca. Bila orang cerita saya tidak baca. Tidak ada faedah kita baca tulisan itu, baik baca benda lain yang berfaedah.
"Di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bila orang serang saya, saya ambil kertas saya baca sehingga orang itu marah kepada saya sebab tidak hirau kepada apa yang diucapkan," jelasnya.