Berita :
Pelajar Terengganu Skill Berpeluang Sambung Pengajian di MMU
Pelajar Terengganu Skill Berpeluang Sambung Pengajian di MMU
Abdul Fattah Kamarudin
19 jam yang lepas
16

KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Terengganu Skill Development Centre (TESDEC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU) bagi mencorakkan masa depan pendidikan teknikal dan digital, khususnya di Terengganu.

Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Berhad, Sulaiman Sulong berkata, MoU tersebut merupakan langkah penting ke arah membentuk kerjasama strategik dalam memperkasa pendidikan teknologi, khususnya dalam bidang teknikal dan digital di negeri ini.

“Memorandum Persefahaman ini merupakan satu langkah penting ke arah pembentukan kerjasama strategik yang bakal mencorak masa depan pendidikan teknikal dan digital, khususnya di Terengganu.

“Melalui MoU ini, beberapa fokus utama telah dikenal pasti, antaranya memperkukuh sinergi antara bidang ICT dan TVET bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Skill dan MMU di Dewan Akademik, Tingkat 3, Bangunan Canseleri, MMU, Cyberjaya, baru-baru ini.

Dalam perjanjian itu, pelajar turut bakal menerima manfaat melalui peluang mendapatkan persijilan profesional seperti CSWIP 3.0 Visual Inspection serta sijil NDT (MT & PT Level 2), yang mempunyai nilai tinggi dan permintaan besar dalam sektor industri.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, sesi lawatan dan perkongsian turut mendedahkan peserta kepada perkembangan teknologi semasa seperti Artificial Intelligence (AI), Cybersecurity, teknologi kreatif multimedia, pengaturcaraan serta teknologi digital yang kini antara bidang paling diperlukan di peringkat global.

“Kerjasama ini turut merangkumi perkongsian sumber dan kepakaran, termasuk tenaga pengajar, kemudahan fasiliti serta teknologi terkini, yang diyakini mampu meningkatkan kualiti latihan serta mempercepatkan inovasi dan penyelidikan,” katanya.

Katanya, MoU tersebut juga membuka peluang kepada pelajar Terengganu Skill, khususnya pelajar Diploma Kimpalan dan Diploma Automotif, untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di MMU dalam program Sarjana Muda Teknologi Mekanikal melalui konsep dua tahun di universiti dan satu tahun bersama industri.

"Selain itu, MoU ini turut membuka laluan akademik kepada pelajar TESDEC untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di MMU melalui mekanisme pemindahan kredit, sekali gus memberi kelebihan dari segi masa dan kos pengajian,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan