lightning-solid
Berita :
Pelaksanaan RTB Sungai Setiu Fasa 1 Perlu Disegerakan - MP Setiu
Pelaksanaan RTB Sungai Setiu Fasa 1 Perlu Disegerakan - MP Setiu
Zahid Mustafar
14 jam yang lepas
26

Oleh: Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Kerajaan digesa memberi keutamaan segera terhadap pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Setiu Fasa 1 bagi menjamin keselamatan penduduk serta melindungi infrastruktur kritikal di kawasan berkenaan daripada ancaman bencana berulang.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini menegaskan, ketiadaan sistem tebatan banjir yang efektif berisiko melumpuhkan aktiviti sosioekonomi di Bandar Permaisuri, sepertimana impak kejadian banjir besar yang melanda daerah itu pada tahun 2022.

Beliau menjelaskan bahawa insiden terdahulu telah mengakibatkan kerosakan signifikan terhadap premis penting, termasuk Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Setiu yang dinaiki air. Risiko kerosakan fasiliti awam dan premis perniagaan ini bukan sahaja merugikan ekonomi setempat, malah mengganggu kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Menyambut gesaan tersebut, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Fadillah Yusof menyatakan komitmen kementerian untuk meneliti status terperinci RTB Sungai Setiu Fasa 1 bagi tindakan lanjut.

Menurut beliau, pelaksanaan projek tebatan banjir sering berdepan cabaran tersendiri, termasuk kelewatan kajian reka bentuk oleh pihak perunding, isu teknikal pengambilalihan tanah, serta proses pelantikan kontraktor.

"Bagi memastikan projek-projek ini kembali ke landasan asal, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) di peringkat Persekutuan dan Negeri. Pasukan ini berperanan menyelesaikan sebarang kekangan di lapangan secara tuntas agar projek tidak terus tertangguh," jelas beliau.


Artikel Berkaitan