Pelayaran Ehsan APMM Selamat Bawa Dua Calon SPM


Kebimbangan dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak dapat menduduki kertas akhir peperiksaan esok, berakhir apabila mereka diselamatkan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melancarkan operasi  'Pelayaran Ehsan' bagi membawa mereka ke tanah besar, petang ini.
Pelajar terbabit Siti Nur Atiqah Azman dan Nor Fadilah Mohd Zaki, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Alur Lintang, Besut terkandas di Pulau Perhentian, selepas pulang ke kampung mereka sejak Khamis lalu.


Mereka sebelum ini dikatakan tidak dapat ke sekolah untuk menduduki kertas akhir subjek Ekonomi Asas berikutan pengusaha bot menghentikan operasi serta-merta disebabkan cuaca buruk dan ombak kuat.
Selain pelajar itu, ratusan penduduk pulau berkenaan juga tidak dapat merentasi laut sejak semalam.
Operasi itu berjaya membawa pelajar berkenaan tiba dengan selamat di pangkalan APMM Tok Bali, Semerak, Kelantan kira-kira jam 3.15 petang.
Pengarah APMM Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah terbabit kira-kira jam 10 pagi tadi yang meminta bantuan membawa dua pelajar berkenaan.

Katanya, bagi menyelamatkan pelajar berkenaan pihaknya menggerakkan sebuah bot peronda dan akhirnya  misi pelayaran ehsan berjalan lancar dan selamat tiba walaupun pelayaran menghadapi risiko disebabkan ombak besar Laut Cina Selatan.

Manakala pengetua sekolah itu, Wan Abdul Razak Wan Din, yang dimaklumkan mengenai nasib pelajar terbabit kemudian bertindak menghubungi phak berkuasa APMM untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan dua pelajarnya itu tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan penting berkenaan.


Menurut pelajar berkenaan, Siti Nur Atiqah bersyukur kerana ramai pihak tampil membantu dan berusaha membawa mereka dengan bot APMM serta membolehkannya menghabiskan baki peperiksaan esok.
Katanya, sebelum ini dia agak risau kerana memikirkan tidak dapat kembali ke sekolah disebabkan ombak besar dan semua pemilik bot juga takut untuk keluar ke laut.
“Saya bersyukur kerana hasrat untuk meneruskan peperiksaan tertunai selepas selamat tiba di tanah besar,” katanya ketika ditemui di Tok Bali, Kelantan, hari ini.
Rakannya, Nor Fadilah pula berkata, dia bersama Siti Nur mengambil keputusan untuk pulang ke pulau sejak Khamis lalu  kerana mahu bersama keluarga dan menziarahi ahli keluarga yang tidak sihat.
Katanya, ketika pulang keadaan laut tidak bergelora dan cuaca baik, tetapi sejak dua hari lalu keadaan berubah apabila ombak besar dan menyukarkan bot kecil keluar ke Kuala Besut.
“Saya berharap dapat meneruskan peperiksaan esok dalam keadaan tenang selepas kami diselamatkan oleh pihak terbabit yang membantu perjalanan ke sekolah,” katanya.



Tag: