Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KEMAMAN, 9 Ogos - Calon PAS-Perikatan Nasional (PN) Kijal, Dato' Razali Idris atau Tok Li mempersoalkan kenapa peguam pendakwaan yang lantang mendedahkan penyelewengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan dengan tiba-tiba menjelang keputusan terhadap 47 kesnya.
Katanya, perkara itu sangat pelik kerana tiba-tiba sahaja Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengeluarkan kenyataan Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai kes Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk bersara awal pada 3 April lalu dan berkuatkuasa pada 1 November ini.
"Semakin pelik apabila semua ini dikeluarkan pada ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, apa yang sudah berlaku sebenarnya?.
"Adakah ada tangan-tangan ghaib yang memaksa atau ada tekanan sehingga tiba-tiba ketua pasukan pendakwaan kes berprofil tinggi melibatkan seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri kabiner kerajaan perpaduan ala madani tidak lagi mengendalikan kes berkenaan?
"Rakyat semakin tertanya-tanya walaupun jawapan sudah dikeluarkan secara umum,"ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini.
Calon PN Kijal itu mengajak rakyat di negeri yang menghadapi PRN khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang agar membuat pertimbangan yang terbaik untuk memilih pemimpin berintegriti berdasarkan kes yang dihadapi Zahid ini.
Katanya, 47 kes dihadapi Zahid itu antaranya kes pecah amanah, didakwa menggunakan dana milik Yayasan Akal Budi untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi.
"Polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Malaysia.
"Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
"Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.