• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Pemberian Air Percuma Diteruskan Walau Royalti Disekat

KUALA TERENGGANU,  23 Julai – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan B40 tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pembekalan air percuma kepada masjid di seluruh negeri.

“Kita masih lagi mengikut perancangan apa yang dilaksanakan kepada (golongan) B40 berkenaan termasuklah kita teruskan walaupun berlaku sekatan pada royalti.

“Kami masih berikan kepada masjid-masjid yang didaftarkan, kita tetap teruskan kerana kita rasa ini tanggungjawab sosial daripada kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan juga,” jelasnya.

Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat KOnvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, hari ini.

Menurutnya program bekalan air percuma telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu dan sampai ke hari ini tiada pengurangan dari segi penerima bantuan tersebut.

Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, usaha untuk bertahan walau menghadapi tekanan perlu diteruskan.

"Seperti mana manusia perlu makan untuk hidup, usaha tidak boleh berhenti walaupun dalam keadaan sukar.

“Jadi setakat ini kita boleh teruskan kehidupan walaupun dalam keadaan sedemikian tapi pada kerajaan negeri yang hak itu hak yang perlu diselesaikan,” ujarnya.


Tag: