Pembinaan 64 Menara Selasai Masalah Capaian Internet

KUALA LUMPUR, 4 Februari - Masalah capaian internet kurang memuaskan di beberapa kawasan luar bandar kini dalam penyelesaian selepas projek menaik taraf menara sedia ada dan pembangunan 64 menara baharu dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah menara di Terengganu yang sedia ada adalah 1,000 dan ia memerlukan penambahbaikan kerana menara tersebut hanya mampu menampung 2G dan 3G sahaja.

Kata Ariffin, masalah di Lata Payung yang tular di media sosial baru-baru ini juga hampir selesai.

"Sebenarnya di sana (Lata Payung) telah ada menara, tetapi sedang dinaik taraf kepada capaian 4G, sebab itu ia mengalami sedikit gangguan.

"Perancangan akan melalui syarikat milik kerajaan negeri, Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) akan mengambil tindakan lanjut dan meninjau isu tersebut dengan kerjasama pihak telco secepat mungkin.

"MCMC turut giat berusaha dalam kerja menaik taraf dan sedang melakukan proses tersebut beberapa kawasan. Insya-Allah, dalam tempoh dua tahun ini MCMC sedang membangunkan 64 menara baru di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peranan sama turut dimainkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir melalui projek bina baru menara telekomunikasi dan menaik taraf 57 pemancar di menara yang sedia ada di daerah Setiu.

Menurut Shaharizukirnain, permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), baru-baru ini.

"Projek ini kini dalam proses tender dan pembinaan menara telekomunikasi ini akan meluaskan rangkaian 4G dalam kawasan Parlimen Setiu.

"Insya-Allah isu yang selama ini membelenggu rakyat dalam Setiu akan tidak lama lagi diselesaikan.

"Antara kawasan terlibat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap antaranya Kampung Tayor Tengah Hutan Lipur Lata Payung, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kilang Sawit Chalok dan Bukit Lawang," jelasnya.