KUALA TERENGGANU, 10 November – Projek pembinaan Terminal Bas Jertih yang mula dibina pada 26 Disember 2024 kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 11.62 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata kelewatan kira-kira 1.89 peratus atau bersamaan enam hari bekerja itu disebabkan oleh kegagalan pihak kontraktor mematuhi jadual kerja-kerja pengujian cerucuk (piling test) seperti yang ditetapkan.
"Bagi mengatasi isu tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil beberapa langkah tegas termasuk mengeluarkan surat amaran kali ketiga kepada kontraktor yang terlibat.
"Selain itu, JKR turut mengarah pihak kontraktor mengemukakan pelan pemulihan (Recovery Plan) bagi memastikan projek dapat kembali berada di landasan yang ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini semalam.
Terminal Bas Jertih yang dijangka siap sepenuhnya pada 23 Jun 2027 itu merupakan antara projek penting di daerah Besut bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan keselesaan pengguna.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan tentang perkembangan Projek Jejambat Sungai Besut, Jerteh, Hanafiah berkata berdasarkan maklumat semasa, projek berkenaan masih berada di peringkat perancangan dan baru selesai Bengkel Kejuruteraan Nilai - Value Engineering (VE) pada Ogos 2025.
“Selepas proses VE, beberapa langkah penting masih perlu dilaksanakan sebelum projek dapat dimulakan, termasuk penyediaan dan kelulusan rekabentuk terperinci (detailed design) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala proses perolehan dan pelantikan kontraktor, yang disasarkan berlaku pada tahun 2025,” ujarnya.