• 01 Nov 2024 | 29 Rabiul Akhir 1446

Peminat Bola Sepak Terengganu Sambut Baik Pengasingan Tempat Duduk Di Stadium

KUALA NERUS, 30 Julai - Rata-rata peminat bola sepak di negeri ini menyambut baik penyediaan tempat duduk khas bagi penyokong wanita dan individu berkeluarga yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak.

Terengganu FC akan mula melaksanakan pengasingan itu sempena perlawanan antara Terengganu FC dan Negeri Sembilan pada malam ini.

Salah seorang penyokong Terengganu TC, Hanif Rashid melalui komen di 'Facebook' berkata, "Alhamdulillah, usaha yang sangat baik. Harap perlaksanaan juga dapat sambutan yang baik. Ayuh warga penyokong TFC, sambut usaha ni. Insya-Allah selesai hok (yang) ini, ada akan ada penyelesaian isu lain pulok (pula)" ujarnya.

Hisyamuddin Usa pula berpendapat, "bestnya, harap semua kalu dapat ikut contoh yg baik, suatu hari Terengganu akan menjadi perintis kuasa besar bola sepak Asia," tulisnya.

Sementara Ahmad Hanif Awang berkata, "alhamdulillah terbaik ustaz, guna pendekatan yang mudah, tak mampu buat semua jangan tinggal semua. Mana yang baik rakyat akan sokong demi kebaikan semua," katanya.

Mohd Rozi Sakiman pula berpendapat, ia satu inisiatif yang baik daripada kerajaan negeri untuk pihak pengurusan mengambil langkah drastik terbaik dalam menyediakan pelaksaan tersebut.

"Elakkan daripada percampuran antara lelaki dan perempuan serta mendidik masyarakat khususnya rakyat Negeri Terengganu dengan syariat Islam.

"Semoga rakyat lebih memahami ikhtilat atau pergaulan antara lelaki dan perempuan," ujarnya.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah memperhalusi perkara ini dan bersetuju untuk memberikan komitmen mereka.

“Ia akan dimulakan sempena perlawanan Terengganu FC vs Negeri Sembilan FC pada malam ini. Berkebetulan juga, pihak TFC menganjurkan Matchday x Family Day.

“Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk.

“Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” katanya melalui satu hantaran di laman rasmi beliau.

Jelasnya, perkara berkenaan timbul dan disuarakan penyokong sewaktu perlawanan bola sepak antara Terengganu FC vs Selangor FC sempena Separuh Akhir Piala FA, antara yang berbangkit adalah tentang percampuran penonton antara lelaki dan perempuan.

Oleh kerana itu, beliau berharap usaha Kerajaan Negeri itu dapat menarik lebih ramai sokongan daripada kaum wanita dan keluarga dalam usaha menyemarakkan lagi  tuntutan beragama dan bersyariah dalam segala aspek kehidupan.

“Pihak Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak.

“Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Ngeri Dun Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap peminat faham dan dapat mematuhi garis panduan yang akan dilakukan.

"Apa pun perbuatan kita tidak dapat lari dengan perintah agama walaupun dalam bersukan," katanya