Pemuda Raih Pendapatan Lumayan Cebur Bidang Penternakan

SETIU, 15 Februari - Seorang anak muda dari Kampung Bahagia meraih pendapatan lumayan apabila menceburi bidang penternakan ayam daging secara komersil.

Hisyamudin Mat Isa, 30 berkata, beliau mewarisi bidang penternakan ayam daging daripada bapanya sejak tahun 2018.

"Reban yang sedia ada sekarang ini kita mampu memuatkan 10,000 ekor ayam dalam satu-satu masa.

"Kita mempunyai tiga reban dan saya bercadang untuk menambah lagi reban bagi membolehkan lebih banyak ayam dapat diternak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Penternakan ayam daging yang diusahakannya turut mendapat pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

Tambahnya lagi, masa yang diambil untuk ayam membesar dan boleh dipasarkan adalah selama 35 hari.