KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan persekutuan meneruskan bantuan kepada golongan khusus seperti pengusaha kantin sekolah, industri sukan dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam membela nasib semua dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan RM1,000 kepada semua pengusaha kantin berdaftar setelah melihat situasi di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan hilang mata pencarian.
“Sementara itu, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti.
“Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3000 kepada mereka,” katanya ketika pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan kewangan RM500 seorang selama tiga bulan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada.
“Untuk itu, RM30 juta diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU,” katanya lagi.
Tambah Muhyiddin, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula.
“Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
“Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika,” jelasnya.