Berita :
Penantian 25 Tahun Berakhir, Ibu Terlantar Akibat Strok Akhirnya Miliki Geran Hak Milik Tanah
Penantian 25 Tahun Berakhir, Ibu Terlantar Akibat Strok Akhirnya Miliki Geran Hak Milik Tanah
Rohayati Ripin
11 jam yang lepas
139

Oleh : Amir Ab Rahim

BESUT, 29 Jun – Penantian hampir 25 tahun sebuah keluarga untuk memiliki geran hak milik tanah akhirnya berakhir apabila Mesah Omar menerima dokumen berkenaan dalam Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Lebih menyentuh hati, Mesah yang terlantar akibat strok sejak setahun lalu tidak dapat hadir bagi menerima sendiri geran yang sekian lama dinantikan keluarganya.

Geran tersebut sebaliknya diterima oleh anaknya, Roslina Che Abdullah, yang berkata ibunya merupakan seorang ibu tunggal yang membesarkan anak-anak dalam serba kekurangan, manakala urusan pemilikan tanah itu tertangguh selama bertahun-tahun akibat kekangan kewangan.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira kerana mak akhirnya memperoleh hak milik mutlak tanah ini.

"Sekurang-kurangnya selepas ini mak tidak perlu lagi memikirkan atau bimbang tentang status tanah ini. Mak dahulu seorang ibu tunggal yang gigih membesarkan kami, tetapi urusan tanah ini tertangguh begitu lama kerana kekangan kewangan," jelasnya ketika ditemui selepas program di Dewan Kampung Baharu, baru-baru ini.

Roslina berkata, tanah berkenaan telah dinantikan keluarganya selama hampir 25 tahun dan beliau sanggup berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Besut bagi menguruskan segala dokumentasi berkaitan.

"Apabila saya mengambil alih urusan ini dan berurusan di Pejabat Tanah Besut, prosesnya sangat mudah dan lancar.

"Kurang daripada dua tahun, semua bayaran berjaya diselesaikan dan hari ini geran sudah berada di tangan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana memudahkan urusan rakyat seperti kami," katanya yang bekerja di Mydin Mall.

Sementara itu, seramai 164 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) menerima geran hak milik tanah dan Borang 5A, sekali gus merealisasikan impian mereka untuk memiliki tanah secara sah.

Daripada jumlah itu, 78 peserta RTB Bukit Puteri menerima geran hak milik tanah, manakala 86 peserta RTB Besut Tsuda 1 menerima Borang 5A serta menyertai proses undian lot sebagai langkah awal ke arah pemilikan tanah secara rasmi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, penyerahan dokumen tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sekian lama tertangguh, sekali gus memberi jaminan masa depan kepada rakyat.

"Geran dan Borang 5A yang diterima hari ini bukan sekadar sekeping kertas, tetapi merupakan jaminan masa depan buat keluarga dan anak cucu.

"Saya berharap para penerima tidak menjual tanah ini demi keuntungan jangka pendek, sebaliknya mengusahakannya sebagai aset yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga," tambah Azbi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan