KUALA TERENGGANU, 12 November – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh sumber Pendapatan Baharu Negeri melalui pelaksanaan inisiatif New Income Terengganu (NIT) dengan mencatat peningkatan hasil baru sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jumlah kutipan hasil baru sebenar bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM77.48 juta, manakala bagi tahun 2025 (sehingga 11 November) telah mencecah RM97.04 juta.
“Jumlah kutipan hasil baru sebenar bagi Tahun 2024 yang berakhir sehingga 31 Disember 2024 adalah berjumlah RM77.48 juta berbanding sasaran semua hasil (menjelang 2030) iaitu RM374.80 juta , manakala jumlah kutipan terkini hasil baru sebenar bagi Tahun 2025 yang berakhir sehingga 11 November 2025 (semalam) adalah sebanyak RM97.04 juta.
“Alhamdulillah, peningkatan atau lebihan sebanyak 15 peratus daripada jumlah kutipan hasil baru bagi tahun lepas walaupun belum memasuki Disember tahun ini berbanding anggaran semua hasil tahun 2025 berjumlah RM273.80 juta yang kita sasarkan,’ jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nurkhuzaini turut memaklumkan mengenai inisiatif pembangunan Sistem Geospatial Negeri Terengganu (TGIS) yang akan menjadi platform utama pengurusan dan integrasi data negeri secara menyeluruh.
Menurutnya, Unit GIS Terengganu (UGIST) yang beroperasi di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri kini sedang mengumpul data daripada semua daerah dalam format GIS-Data Ready bagi pembangunan Pusat Pangkalan Data Negeri Terengganu.
“Fokus pengumpulan data melibatkan lima sektor utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu perkhidmatan, pertanian, pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian, selaras dengan piawaian Geospatial Negara,” ujarnya.
Beliau menambah, projek pembangunan sistem tersebut telah diluluskan dan dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2026, sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital negeri.
Katanya, usaha itu turut mendapat pengiktirafan apabila Kerajaan Negeri Terengganu menerima penghargaan dalam Program Infrastruktur Data Geospatial Malaysia (MyGDI) daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada 8 Oktober lalu sempena Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) ke-10 di Putrajaya.
“Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan terhadap komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkukuh agenda transformasi digital melalui pembangunan data geospatial yang mampan dan berimpak tinggi seiring dengan tema Geospatial Pemacu Kelestarian Negara,” tambah beliau.