Pendapatan TDM Meningkat Tujuh Peratus

KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus kepada RM425.1 juta bagi tahun 2019 berbanding RM397.9 pada tahun sebelumnya.

Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi tersebut meskipun 2019 adalah tahun yang penuh cabaran termasuk perang perdagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan harga minyak sawit mentah pada suku berakhir 2019.

“Hasil persembahan pendapatan TDM bagi tahun 2019 di mana ia meningkat sebanyak tujuh peratus dari tahun ke tahun, terutamanya pendapatan di bahagian Penjagaan Kesihatan yang lebih tinggi sebanyak 13 peratus.

“Kumpulan atau TDM mencapai EBITDA yang diselaraskan sebanyak RM63.6 juta berbanding RM35.4 juta pada tahun sebelumnya, di mana bahagian Perladangan menyumbang sebanyak RM47.7 juta.

“Manakala bahagian Penjagaan Kesihatan pula menyumbang sebanyak RM29.2 juta dan diimbangi dengan kerugian dari Investment Holding sebanyak RM13.3 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, bahagian Penjagaan Kesihatan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM27.2 juta atau 13 peratus daripada RM209.5 juta hingga RM236.7 juta.

“Pertumbuhan ini didorong oleh jumlah pesakit dalam dan pendapatan setiap pesakit yang lebih tinggi di mana masing-masing meningkat sebanyak lapan peritus,” jelasnya.

Sementara itu, pendapatan di bahagian Perladangan tidak berubah iaitu sebanyak RM188.4 juta.

“Bahagian Perladangan kami pula mencatatkan pengeluaran CPO dan PK yang lebih tinggi bagi tahun 2019 berbanding tahun 2018 di mana masing-masing sebanyak 15 dan 13 peratus.

“Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh harga purata CPO dan PK yang lebih rendah iaitu masing-masing sebanyak lapan dan 32 peratus,” tambah beliau.