Pendaratan Penyu Dijangka Meningkat
Dr Azman Ibrahim (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada pihak penganjur program. Foto ihsan - FB Dr Azman Ibrahim |
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jangkaan itu berdasarkan 'trend' direkodkan sebelum ini.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) mendapati penyu agar mencatatkan trend pendaratan tinggi setiap tiga tahun sekali.
“Pada 2011 penyu agar mencatat pendaratan 3,711 kali, diikuti 3,711 (2012) dan setahun selepas itu mencatatkan peningkatan kepada 7,192 kali.
“Pada 2014 ia kembali menurun kepada 4,306 kali, 2015 (4,937) dan kembali meningkat kepada (9,537) pendaratan pada 2016,” katanya selepas program gotong-royong membersihkan Pantai Ma Daerah di Chukai, Kemaman, baru-baru ini.
Program itu turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, berdasarkan rekod itu, beliau percaya untuk tahun ini pendaratan spesis itu dijangka melebihi 9,000 pendaratan.
“Jumlah pendaratan penyu pada tahun lalu merekodkan 3,890 kali pendaratan penyu agar dengan telur sebanyak 324,515 biji dan jumlah telur dieramkan (374,322 biji) manakala sebanyak 254,237 anak penyu ditetaskan.
“Penyu karah mencatatkan 23 pendaratan dengan 2,894 biji telur dan semua telur yang dieramkan itu berjaya menetaskan 2,167 anak penyu,” katanya.
Menurutnya, bagi spesies tuntung laut pula mencatat sebanyak 245 sarang dengan telur 2,575 biji dan daripada 1,864 telur dieramkan, sebanyak 951 anak penyu ditetaskan.
Katanya, bagaimanapun, pihaknya kesal apabila mendapat tahu 55 ekor penyu mati sepanjang tahun lalu.
“Selain faktor usia dan terjerut pada pukat nelayan, kematian penyu disebabkan memakan sampah-sarap yang hanyut ke laut.
“Hasil gotong-royong hari ini, kami dapati banyak sampah-sarap seperti bekas plastik makanan dan minuman, straw, peralatan perikanan dan puntung rokok dihanyutkan sebelum terdampar di daratan.
“Kami ita minta pengunjung pantai dan nelayan di negeri ini peka dengan aspek kebersihan dengan tindak buang sampah yang boleh mengundang kematian penyu,” katanya.
Dr Azman berkata, setiap tahun kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan memperuntukkan lebih RM500,000 untuk tujuan pengurusan dan program pembangunan penyu di negeri ini.
Program gotong-royong disertai 550 pelajar dan kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat petrokimia sekitar kawasan itu berjaya memungut 365 kilogram (kg) sampah di pantai berkenaan.
SUMBER: METRO