Pelik, Perjuang Kebebasan Bersuara Tidak Selantang Lawan Hukum Islam
Pendidikan Main Peranan Penting Bentuk Peribadi
Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 3 Februari - Kepentingan sesebuah institusi pendidikan terus dipandang serius bagi membentuk keperibadian anak bangsa yang bakal berada di barisan kepimpinan akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sekiranya berlaku kehancuran pada sesebuah negara, institusi pendidikanlah yang pertama perlu dibangunkan terlebih dahulu.
"Di saat kota London hancur dibom tentera Jerman dalam perang dunia kedua suatu ketika dahulu, langkah pertama diputuskan oleh para pimpinan mereka adalah membaik pulih sekolah terlebih dahulu kerana ia merupakan institusi terpenting dalam masyarakat.
"Dalam konteks pendidikan, kita tidak boleh main-main kerana ia menentukan masa depan umat yang bakal memimpin negeri dan negara kita. Amanah ini apabila terlajak, tidak boleh diundur," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Anak Ikan Kali Ke-11 di sini baru-baru ini.
Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, para pelajar digesa agar merungkaikan diri untuk menjadi hebat supaya memberi manfaat kepada orang lain.
"Tuntutlah ilmu untuk meningkatkan kualiti dan prestasi diri kerana proses belajar tiada titik noktah.
"Masa menuntut ilmu ini tidak boleh dikembalikan apabila ia terlepas. Dan ketika itu, penyesalan tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada kita," jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh kerana segala kemudahan yang ada sekarang adalah lebih baik berbanding dahulu.
"Marilah kita sama-sama gabung jalin kekuatan, buah fikiran sesama kita untuk memajukan anak-anak dan menggapai redha Allah," kata Dr. Azman.
Menurutnya, pengurangan pelajar di beberapa buah sekolah di Jabi adalah disebabkan perpindahan orang muda ke luar negeri.
"Kemudahan seperti mesin ATM, perumahan dan tanah pertanian untuk generasi kedua merupakan antara perancangan bagi mengatasi masalah ini.
"Selain itu, kelompok pertanian akan dibangunkan seluas lebih kurang 40 ekar untuk memberi peluang kepada anak muda di sekitar kampung memanfaatkannya," tambahnya.