Penduduk Diminta Bersabar Dan Berdoa



Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 31 Mac - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang terkesan dengan kebakaran hutan paya gambut di kawasan itu, diminta supaya bersabar dan sentiasa berdoa supaya hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, pihaknya amat bersimpati dengan kesan kebakaran alam sekitar itu terhadap penduduk setempat apabila terpaksa menghidu bau dan udara yang dicemari asap sejak sebulan lalu.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Dungun sudah melakukan usaha-usaha memadamkan api.

"Kekuatan kepada 80 orang anggota bomba berbanding 60 anggota sebelum ini bagi melancarkan operasi memadam kebakaran di Alur Tempoyak," katanya ketika dihubungi wakil Urusetia Penerangan Darul Iman selepas lawatannya ke Pos Sementara Jabatan Bomba dan Penyelamat di Balai Besar, di sini, baru-baru ini.

Menurut Alias, selepas tiga hari operasi, keseluruhan kawasan kebakaran yang berkeluasan 25 hektar berjaya dikurangkan kepada tiga hektar.


Katanya, masalah yang dihadapi pihak bomba ialah kekurangan bekalan air berikutan hanya terdapat satu pili bomba, selain kawasan berpaya dan longkang yang sedia ada juga kekeringan.

Tambahnya lagi, sekiranya hujan dalam tempoh sehari dua ini, baki kawasan yang masih terjejas itu dijangka akan dapat dipulihkan.

"Alhamdulillah pihak bomba mendapat bantuan agensi kerajaan dan juga daripada individu yang sudi menggali longkang supaya air daripada Sungai Dungun dan penebatan banjir dapat mengalir ke tempat kebakaran.

"Inilah punca-punca kemungkinan boleh membantu bomba di samping ada empat 'tube well' di kawasan DUN Rantau Abang," katanya.


Selain itu, Alias berkata, masalah yang dihadapi sebelum ini, apabila pili bomba  hanya mampu mengisi 200 liter padu air dalam satu tangki dan mampu memadamkan kebakaran untuk tempoh sejam sahaja.

"Bomba juga mengambil kira jika ianya digunakan secara berterusan boleh menjejaskan bekalan air penduduk di sekitar itu," katanya.

Beliau turut memuji usaha pasukan penyelamat dan melahirkan penghargaan dengan penglibatan Anggota Pertahanan Awam (APM) Dungun serta Jabatan Amal Dungun yang dedikasi dan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah itu.

Tag: